Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Di Dewan Perpat Timbul
6 Ogos 2021 | Aktiviti TerkiniPada 5 Ogos iaitu pada hari Khamis, Dewan Perpat Timbul yang terletak di kawasan kampung Perpat, Tanjung Piai Pontian telah dijadikan sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Dewan ini yang diberi nama Dewan Serbaguna Tn. Hj. Abdul Kadir bin Bokok merupakan dewan kawasan 3 Kampung Perpat Timbul yang bernaung di bawah mukim serkat dan parlimen Tanjung Piai. Dewan ini merupakan kawasan rekreasi khususnya untuk penduduk tempatan dan komuniti untuk bermain sepak takraw, senamrobik dan badminton. Justeru, memandangkan kepadatan penduduk di kawasan parlimen Tanjung Piai yang majoritinya berbangsa Melayu belum menerima vaksin, maka Dewan Perpat Timbul telah dipilih untuk beroperasi sebagai PPV.
Dewan ini telah dipilih memandangkan lokasinya yang agak luas dan mempunyai sistem pengudaraan yang baik serta dekat dengan kawasan kediaman komuniti. Inisiatif Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Pontian melalui kerjasama dengan Klinik Kesihatan Serkat serta Ahli MPKK Perpat dan Tanjung Piai telah menjayakan proses vaksinasi ini. Seramai 160 orang telah menerima suntikan dos kedua pada hari berkenaan setelah sebelumnya seramai 230 orang telah menerima suntikan dos pertama pada akhir bulan Julai. Selaras menyahut seruan untuk mencapai imuniti kelompok, PPV di Dewan Perpat telah menjadi salah satu penggerak kepada usaha mencapai sasaran berkenaan. Dewan ini terletak hampir 1 km dari Pusat Ekonomi Digital Komuniti Tanjung Piai.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: